Zaiton diperintah membela diri atas pertuduhan menyembunyikan wang tiga tahun lalu. FOTO Faiz Anuar
Iskandar Shah Mohamed


IBU tunggal diperintah membela diri oleh Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan menyembunyikan wang RM22,600 milik seorang wanita, tiga tahun lalu.

Majistret Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin membuat keputusan itu ke atas tertuduh, Zaiton Sidek, 61, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie pada akhir kes pendakwaan.

Muhammad ‘Azzam dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati tertuduh memiliki kawalan penuh terhadap akaun bank miliknya itu.

“Selain kemasukan wang, wujud transaksi pengeluaran daripada akaun bank milik tertuduh.

“Mahkamah meneliti semua keterangan dikemukakan pendakwaan yang membuktikan kes prima facie.

“Justeru, tertuduh perlu membela diri atas pertuduhan itu,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Zaiton yang juga pesara swasta didakwa dengan curang menyembunyikan wang RM22,600 yang dimasukkan wanita berusia 48 tahun dalam akaun bank miliknya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Kota Kemuning, Klang antara 25 hingga 27 April 2016.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaili Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Naim Rafidi.

Sebutan semula kes bagi perbicaraan ditetapkan 21 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 3:33 PM