Penguat kuasa JAIS memeriksa kilang ayam di Semenyih hari ini. FOTO Azhar Ramli
Ekhwan Haque Fazlul Haque


MESKIPUN hanya meletakkan logo halal pada bahan promosi tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa agama, ia sudah

menjadi kesalahan yang menyebabkan sesebuah syarikat itu boleh didenda sehingga RM200,000.

Itu tindakan sebuah syarikat pemprosesan ayam di Semenyih yang mempamerkan logo halal tanpa mendapat kebenaran sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengguna termasuk video promosi yang kini boleh ditonton di media sosial.

Susulan penyebaran video itu, Bahagian Penguatkuasaan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menerima maklumat mengenai perkara itu dua minggu lalu menjalankan pemeriksaan mengejut di kilang pemprosesan ayam di Jalan

Semenyih hari ini.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Halal JAIS, Ahmad Solihin Markoyan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pemilik perniagaan bukan pemegang sijil halal JAIS atau pihak berkuasa agama.

Bagaimanapun katanya, JAIS mengesan syarikat itu mempamerkan logo halal pada gegantung, risalah dan kain rentang bagi mempromosikan ayam yang disembelih di kilang terbabit.

“Semakan mendapati syarikat itu sudah memohon untuk mendapatkan sijil halal JAIS namun masih belum

menyerahkan dokumen yang membolehkan permohonan itu diproses.

“Walaupun sudah memohon namun ia tidak membolehkan syarikat itu mempamerkan logo halal pada sebarang material

promosi atau produk keluarannya sehingga permohonan diluluskan JAIS,” katanya ditemui selepas tamat pemeriksaan hari ini.

Pemeriksaan bermula 7.30 pagi itu turut disertai Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Katanya, pihaknya menyita beberapa bahan promosi daripada syarikat itu untuk siasatan lanjut manakala pemiliknya akan

dipanggil untuk menyalurkan maklumat lanjut.

“Penyembelih juga mempunyai sijil tauliah selain semua pekerja mematuhi prosedur bekerja dan tiada ketidakpatuhan di kilang penyembelihan ayam dikesan.

“Siasatan dijalankan mengikut Peraturan Perintah Perihal Dagangan Perakuan dan Penandaan Halal 2011 yang boleh dikenakan denda sehingga RM200,000,” katanya.

Sementara itu, ketua operasi syarikat berkenan mengakui masih dalam proses mendapatkan pensijilan halal daripada JAIS dan permohonan sudah dibuat beberapa hari lalu.

Katanya, logo halal yang terdapat pada bahan promosi itu sebenarnya hanya akan digunakan sebaik pihaknya mendapat pensijilan halal JAIS.

“Kami sudah berpengalaman dalam perniagaan ini namun masih terdapat beberapa dokumen yang perlu dilengkapkan sebelum ia diserahkan kepada JAIS dan akan memastikan perakuan halal diperoleh mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 3:38 PM