Tertuduh dibawa ke mahkamah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak tiri. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim


PENOREH getah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak tiri berusia 16 tahun di Johol, Kuala Pilah, bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh berusia 26 tahun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap anak tiri perempuannya berusia 16 tahun di sebuah rumah di Johol pada 10.35 malam 27 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh merayu dibenarkan ikat jamin kerana isteri hamil tiga bulan dan memohon jumlah jaminan paling rendah diberikan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh tinggal serumah dan mendekati mangsa serta perlu melaporkan diri di balai polis terdekat pada 15 haribulan setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan 17 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 4:04 PM