FARID Kamil. FOTO Arkib NSTP
Sarah Zulkifli


PELAKON dan pengarah Datuk Farid Kamil didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan pilihan membuat laporan polis palsu Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, tahun lalu.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Farid Kamil atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 38, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan pilihan itu dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan pelakon itu menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu. Beliau membayar denda berkenaan.

Dalam prosiding kelmarin itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham menawarkan pertuduhan pilihan kepada Farid Kamil.

Mengikut pertuduhan pilihan, pelakon utama filem Lagenda Budak Setan didakwa membuat keterangan palsu bersabit laporan polis dengan memasukkan maklumat palsu dan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan terbabit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 5.54 petang, 31 Januari 2018 di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Farid Kamil diwakili peguam Megat Syazlee Mokhtarom.

Pada 10 Mac 2018, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan kes itu dikemukakan mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 193 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun dan denda jika disabit kesalahan.

Di dalam sidang media sebelum ini, Farid mendedahkan gambar dua lelaki yang didakwa individu sebenar meletakkan dadah dalam minumannya.

Dakwa Farid, individu sebenar yang mendatanginya pada hari kejadian ialah pengurus artis dan penyanyi yang memperkenalkan diri sebagai Taj dan Osh.

Farid turut menafikan dua artis yang tampil memberi keterangan berhubung kes dadah itu bukan individu sebenar digambarkannya kepada polis.

Selain kes laporan polis palsu, Farid Kamil turut didakwa di dua lagi Mahkamah Majistret berlainan di Petaling Jaya dengan empat lagi pertuduhan jenayah iaitu mengambil dadah ganja, menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Kota Damansara pada 11 Januari 2018.

Kesemua kes berkenaan sedang dalam peringkat perbicaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 8:18 PM