Nabila (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kajang untuk pendakwaan kes pecah amanah. Foto Ihsan PDRM
Nabila (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kajang untuk pendakwaan kes pecah amanah. Foto Ihsan PDRM
Murni Wan Omar


PENGARAH syarikat bergelar Datin sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kajang, semalam terhadap dakwaan melakukan pecah amanah jenayah membabitkan RM1.2 juta, dua tahun lalu.

Tertuduh, Datin Nabila Sanusi, 45, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai Pengarah Syarikat Kamuja Bullion Resources Sdn Bhd didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat tuntutan palsu dan menyebabkan syarikat mengalami kerugian sebanyak RM1.2 juta.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Syarikat Kamuja Bullion Resources Sdn Bhd, Kompleks Perniagaan Diamond Bangi, Jalan Medan Bangi, Bandar Baru Bangi pada 28 Februari 2017.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika disabitkan dengan kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dan menetapkan 24 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan, manakala tertuduh diwakili peguam Fahmi Abd Moin.

Pada 8 Februari lalu, Nabila sudah dihadapkan ke mahkamah yang sama atas dakwaan melakukan pecah amanah berjumlah RM5 juta.

Tertuduh juga pernah didakwa di mahkamah sama pada 12 April lalu atas pertuduhan menceroboh masuk tanpa kebenaran ke dalam kawasan tapak pembinaan di Bandar Baru Bangi milik Datuk Seri Ismail Abdur Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 8:44 PM