NORIZAN (tiga dari kiri) bersama saudara mara ketika menunggu jenazah Nor Rarzalina (gambar kecil) di Unit Forensik Hospital Jerantut, hari ini. FOTO Roselan Ab Malek.
Roselan Ab Malek


“HASRAT adik membeli kambing untuk disedekahkan ke masjid taman perumahan kami sempena Ramadan ini tidak kesampaian apabila dia pergi terlebih dahulu menghadap Ilahi.”

Demikian kata Norizan Abu Kasim, 47, kakak kepada Nor Rarzalina, 44, yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 14 Jalan Jerantut-Temerloh dekat Kampung Tebing Tinggi, Jerantut, tengah hari ini.

Norizan berkata, adiknya yang tinggal bersamanya di Taman Damai, Jerantut menyatakan hasrat itu sejak beberapa hari lalu.

Katanya, ia sebagai amal untuk dirinya selain mencari keberkatan dan keredaan Allah SWT sempena bulan puasa.

“Malam tadi saya sempat berbual dengannya selepas berbuka puasa.

“Dia minta saya sedekahkan wang di masjid bagi pihaknya kerana dia tidak boleh sembahyang (datang bulan).

“Arwah pesan untuk pergi ke masjid kerana malam Jumaat penuh keberkatan. Dia hulurkan wang kepada saya untuk disedekahkan,” katanya.

Norizan menyifatkan adiknya yang anak ke-12 daripada 13 beradik itu seorang yang pemurah serta ceria.

Lebih memilukan apabila abang mereka, Kholid yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu sebelum menyedari adik perempuannya meninggal dunia.

Kejadian itu disedarinya selepas melakukan kerja pembersihan di lokasi kemalangan sebelum secara tidak sengaja melihat kad pengenalan Nor Rarzalina.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, Nor Rarzalina maut selepas Proton Exora dipandunya bertembung dengan Mitsubishi Triton dari arah bertentangan.

Kejadian turut menyebabkan pemandu kenderaan pacuan empat roda itu, Koo Khoon Liang, 37, maut di tempat kejadian sementara tiga lagi parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk Perodua Axia dan Proton Persona.

Beliau berkata, Mitsubishi Triton dari arah Jerantut menuju ke Temerloh dipercayai gagal memotong kenderaan di hadapannya sebelum melanggar Proton Exora dipandu Nor Rarzalina dan kereta Perodua Axia.

Berita berkaitan

'Gugurnya air mata abang bomba'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 9:02 PM