SUKARELAWAN TKHM dan penduduk kampung menyusun beras untuk program TKHM di Kampung Balun, Slim River. FOTO Rosman Shamsudin.
Rosman Shamsudin


KAMPUNG Balun, Slim River yang dikatakan antara kampung tertua di daerah Batang Padang dan Muallim, dahulunya agak sunyi, namun bakal kembali meriah sempena program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama PLUS Malaysia Berhad (PLUS), esok.

Kehadiran 150 sukarelawan PLUS dan 30 daripada Harian Metro yang berkampung selama dua hari bermula hari ini dalam menjayakan program TKHM memang dialu-alukan penduduk kampung dalam usaha memperkenalkan kampung itu kepada orang luar.

Program itu bakal memberi manfaat kepada 200 anak yatim dan anak golongan asnaf, 40 warga emas dan ibu tunggal serta 10 isi rumah terpilih untuk program ziarah sahur.

Paling bertuah, anak yatim dan anak golongan asnaf akan dibantu dalam TKHM untuk membeli pakaian raya di sebuah pasar raya di Tanjung Malim, untuk menceriakan sambutan Aidilfitri mereka tahun ini.

Manakala penduduk pula sibuk di pekarangan Surau Tinggi iaitu lokasi program berkenaan diadakan dengan menjalankan aktiviti rewang membuat persiapan menyediakan juadah berbuka buat penduduk dan tetamu.

Rata-rata penduduk kampung ketika ditemui melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada pihak penganjur yang memilih kampung ini sebagai destinasi program TKHM Ramadan bersama PLUS pada tahun ini.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Zainudin Khalid, 45, berkata program itu satu cabaran besar buat MPKK yang baru dibentuk dalam merancang, mengurus dan melaksanakan program berkenaan bersama pihak luar.

“Saya bersyukur program TKHM mendapat kerjasama daripada semua penduduk yang sanggup memberi idea dan tenaga dalam menjayakan program ibadah pada bulan mulia ini.

“Jutaan terima kasih tidak terhingga kepada Harian Metro dan PLUS serta pihak penaja lain yang turut menyumbang dalam menjayakan program ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, tinjauan di pekarangan Surau Tinggi yang dahulunya menjadi pusat ibadat dan kegiatan penduduk ternyata riuh dan meriah dengan penduduk bergotong-royong menyiapkan segala persiapan.

“Sudah lama program besar sebegini tidak diadakan di kampung ini terutama membabitkan pihak luar menyebabkan penduduk begitu teruja sepanjang membuat persiapan.

“Apapun kami dahulukan dengan ucapan selamat datang ke Kampung Balun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 9:05 PM