Norzamira Che Noh


DENDAM dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak membakar sebuah lori di sebuah syarikat pembinaan di Kampung Telok Gong di Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian 3.20 petang itu.

“Kejadian dipercayai berpunca apabila tiga pemandu lori berusia 20-an hingga 30-an dipukul dengan kayu dan rotan oleh lapan individu, termasuk majikannya.

“Ketiga-tiga pekerja itu difahamkan dipukul susulan dakwaan mencuri minyak diesel dari tangki lori syarikat itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


LORI milik syarikat pembinaan di Kampung Telok Gong, Klang dibakar dipercayai bermotifkan dendam. FOTO Ihsan Pembaca

Terdahulu, empat klip video berkaitan kes pemandu lori itu dipukul dan kebakaran sebuah lori tersebar di aplikasi Telegram dan WhatsApp.

Shamsul Amar turut mengesahkan menerima laporan polis di Balai Polis Pandamaran berhubung pekerja itu dipukul pada 5.18 petang semalam.

“Berdasarkan siasatan awal, kami mendapati kejadian pukul itu berlaku di dalam bilik stor syarikat pembinaan berkenaan kelmarin, dan susulan kejadian itu didapati seorang lelaki memasuki syarikat terbabit petang semalam dan bertindak membakar lori.

“Seramai lapan individu berusia 23 hingga 36 tahun ditahan bagi membantu siasatan, malahan kita masih mengesan beberapa individu lain yang terbabit sama.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33719999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 dan 435 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Shamsul Amar berkata, pihaknya ingin menegaskan kes berkenaan tidak membabitkan sebarang isu perkauman atau masyarakat.

Beliau berkata, mana-mana individu dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan berkongsi sebarang provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman sehingga menjejaskan keharmonian kaum.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang bertindak di luar batasan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 10:44 PM