VIVIAN mengundi di SK Muhibbah. FOTO Khairull Azry Bidin
Poliana Ronnie Sidom
poliana@nstp.com.my


CALON DAP, Vivian Wong Shir Yee membuang undi di saluran tiga di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Muhibbah, Sandakan, kira-kira 8 pagi, hari ini.

Vivian ditemani kakak sulungnya, Benita Wong yang juga membuang undi di pusat yang sama.

Seramai 39,684 pemilih dijangka mengundi hari ini di 19 pusat mengundi membabitkan 90 saluran yang dibuka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

PRK itu menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Vivian; Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas masing-masing bekas pengasas Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Hamzah Abdullah; bekas pengurus operasi syarikat perladangan kelapa sawit, Chia Siew Yung dan bekas pembantu tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Abdul Samat.

SPR menetapkan proses mengundi bagi PRK Parlimen Sandakan bermula pada 7.30 pagi dan ditutup pada 5 petang.

Sementara itu, orang ramai dilihat mula datang mengundi di pusat mengundi SK Muhibbah bermula seawal 7. 30 pagi.

Tinjauan mendapati perkhidmatan kereta ‘buggy’ turut digunakan untuk membawa warga tua dan Orang Kelainan Upaya (OKU) ke tempat mengundi.

Hanya tiga daripada lima calon yang bertanding pada PRK itu membuang undi di Parlimen Sandakan iaitu Vivian dan dua calon Bebas, Sulaiman yang dijangka turut membuang undi di SK Muhibbah serta Siew Yung di SK Sungai Anib 1.

Thau Lin dan Hamzah tidak membuang undi kerana berdaftar sebagai pemilih di Parlimen Batu Sapi.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Sandakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 8:56 AM