Norizuan Shamsuddin


BERHIBUR sambil dibelai wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing.

Itu tarikan sebuah pusat hiburan di Bandar Puteri Puchong, Selangor bagi menarik kehadiran pelanggan terutamanya lelaki ‘hidung belang’.

Bagaimanapun, tindakan itu terbongkar apabila premis hiburan terbabit diserbu pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Dalam serbuan bermula 1.15 pagi itu, pasukan D7 IPK Selangor menahan 15 individu termasuk wanita warga asing disyaki GRO dan penjaga premis pusat hiburan terbabit.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor berkata, serbuan dilakukan susulan risikan dan maklumat berhubung kegiatan premis itu yang dikesan menggunakan khidmat wanita warga asing sebagai tarikan kepada pelanggan untuk berhibur.

“Hasil serbuan, kami menahan 14 wanita warga asing membabitkan enam warga Thailand dan lapan warga Vietnam.

“Semakan mendapati semua warga asing itu tiada permit dan menyalahgunakan pas lawatan.

“Susulan itu, kita turut menahan seorang wanita tempatan dipercayai penjaga pusat hiburan terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Azmi berkata, semakan mendapati premis itu mempunyai lesen hiburan tetapi didapati beroperasi melebihi masa ditetapkan.

“Kita turut menyita resit jualan bersama sekeping tips minuman keras dan wang tunai RM7,211.

“Semua suspek dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1) C dan Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 11 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1995,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 11:31 AM
Azmi memeriksa wanita warga asing ketika serbuan di sebuah pusat hiburan di Bandar Puteri Puchong hari ini. FOTO Norizuan Shamsuddin