SITI Kharina gagal dikesan sejak Rabu lalu. FOTO Ihsan Pembaca.
Norizuan Shamsuddin


“KAKAK hilang tanpa sebarang berita. Dia tak maklumkan pada kami mengenai sebarang masalah mungkin dihadapi.

“Kami bimbang dan khuatir kakak ditimpa perkara tidak diingini,” kata Siti Khairani Mohd Kamarudin, 36, kini sedang mengesan kakaknya, Siti Kharina, 40.

Katanya, Siti Kharina, menghilangkan diri sejak Rabu, lalu malah usaha ahli keluarga menghubungi wanita itu juga gagal.

Menurutnya, kehilangan jururawat Hospital Serdang itu disedari apabila rakan serumah menghubungi ahli keluarga untuk bertanyakan mengenai Siti Kharina.

Siti Khairani berkata, mereka dimaklumkan kakaknya itu tidak pulang ke rumah dan melaporkan diri ke tempat kerja.

“Kami menerima panggilan daripada rakan serumah kakak 10 pagi, semalam yang bertanyakan hal itu.

“Susulan itu kami sekeluarga ke Hospital Serdang untuk mencari kakak. Rakan serumahnya memaklumkan kali terakhir Siti Kharina dilihat adalah di kawasan parkir Hospital Serdang pada 4 petang, Rabu lalu.

“Ketika itu kakak masih memakai pakaian kerja warna biru dan memandu model Honda City warna putih dengan nombor pendaftaran BEY 1361,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya, Siti Kharina sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak.

Dia memberitahu abang ipar bersama tiga anak saudara perempuannya berusia 10 hingga 14 tahun tinggal di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Abang ipar beritahu mereka tidak ada masalah keluarga, katanya kali terakhir kakak menghubunginya pada Rabu lalu.

“Ketika perbualan itu kakak beritahu dia akan pulang ke Kuala Pilah selepas tamat waktu bertugas hari berkenaan.

“Namun sampai sekarang kami tidak menerima sebarang khabar berita mengenai Siti Kharina dan sudah puas mencarinya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung Siti Kharina boleh menyalurkan kepada pihak polis atau menghubungi ahli keluarganya menerusi talian 012258776 (Siti Khairani).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 3:34 PM