Muhammad Apendy Issahak


KERIANGAN terpancar pada wajah anak-anak yang terpilih untuk mendapat sumbangan pakaian raya sempena program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di Kampung Balun, Slim River, Tanjung Malim hari ini.

Seramai 200 kanak-kanak membabitkan anak yatim, asnaf dan orang kurang upaya (OKU) dari kariah Kampung Balun menerima sumbangan RM250 setiap seorang.

Mereka bukan saja menerima sumbangan tetapi turut dibawa ke pasar raya untuk memilih sendiri dan membeli pakaian raya yang diinginkan.

Pengarang Eksekutif, Komersial Harian Metro (HM) merangkap Pengerusi Penganjur TKHM 2019, Husain Jahit berkata, setiap anak-anak terbabit dibawa membeli pakaian raya dengan dibantu sukarelawan TKHM.

“Selain menerima RM250 untuk pembelian pakaian raya, anak-anak daripada golongan yang memerlukan ini juga diberikan duit raya.

“TKHM kali ini sangat bertuah apabila menerima sokongan padu daripada PLUS serta beberapa pihak lain untuk menjayakan usaha murni kami membantu masyarakat memerlukan,” katanya.


Husain (dua kiri) bersama Syed Mohammed Idid (tiga kanan) membantu anak yatim memilih pakaian hari raya pada Program TKHM bersama PLUS di Kampung Balun. FOTO Zulfadhli Zulkifli

Program itu turut disertai Ketua Bahagian Korporat Komuniti dan Perhubungan Awam PLUS, Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid bersama 60 sukarelawan PLUS dan HM.

Syed Mohammed Idid berkata, PLUS turut berterima kasih dan teruja dapat bersama HM dalam menjayakan program tanggungjawab sosial itu bagi membantu masyarakat.

“Dalam Ramadan ini kita beribadat dan hari ini kita bersama dengan anak-anak untuk membeli pakaian raya seperti baju, songkok dan lain-lain.

“Bagi saya program TKHM ini sangat bagus dan memberi peluang keemasan kepada syarikat korporat untuk berbuat baik membantu masyarakat,” katanya.

Sementara itu, antara kanak-kanak yang terpilih menerima sumbangan TKHM adalah dua pasangan kembar yang juga anak yatim selepas kematian ibu masing-masing.

Bagi kembar seiras Norazima Nordin dan Norhusnina, 14, program itu membantu mengurangkan beban bapanya dalam menyediakan persiapan raya mereka.

“Seronok dapat beli pakaian raya, kami dua beradik pilih baju jubah, namun tidak sama warna sebab tak mahu sering tertukar pakaian,” katanya.

Pasangan kembar Muhammad Naqib dan Muhammad Nabil Mohd Yusri, 12, pula berlainan apabila kedua-duanya memilih baju dan warna sama.

“Saya ikut saja apa yang abang (Nabil) beli,” kata Naqib.

Berita berkaitan

'Anak isteri senyum gembira sambil bersyukur'

TKHM meriahkan Kampung Balun

Hidupkan kembali amalan 'rewang'

Terima kasih Honda Malaysia

Kampung Balun destinasi pertama TKHM

PLUS taja TKHM RM440,000

PLUS sumbang RM440,000 untuk TKHM Ramadan 2019 [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 5:18 PM