VIVIAN gembira selepas diumumkan memenangi PRK Parlimen Sandakan di Dewan Aktiviti SMJK Tiong Hua. FOTO Khairull Azry Bidin.
Poliana Ronnie Sidom


“PERKARA pertama saya akan lakukan pagi esok adalah melawat kubur mendiang bapa saya. Kemenangan ini hadiah buat bapa saya,” kata Vivian Wong Shir Yee berikutan kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Vivian berkata, kemenangan itu hasil didikan bapanya, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, selain sokongan padu pengundi di parlimen berkenaan yang sebelum ini penyokong kuat bapanya.

“Saya sangat bertuah kerana memiliki seorang bapa yang mengajar saya mengenai peranan ahli politik dan menjadi wanita muda yang kuat. Tanpa dia (Stephen), saya bukan berada di sini.

“Terima kasih kepada semua pengundi kerana percaya saya boleh berkhidmat untuk rakyat dan saya berjanji untuk membuktikan keupayaan saya sebagai Ahli Parlimen dalam tempoh empat tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman rasmi keputusan PRK Sandakan di pusat penjumlahan rasmi undi di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua, Sandakan, malam ini.

Vivian turut mengucapkan penghargaannya kepada pemimpin di peringkat pusat dan negeri serta pemimpin daripada parti lain yang membantu sepanjang kempen berlangsung bermula 27 April lalu.

Beliau mengakui terharu dengan dedikasi semua pemimpin termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang beberapa kali datang ke Sandakan bagi membantu kempennya.

“Sebagai permulaan (menjadi Ahli Parlimen), saya akan membawa kertas kerja mengandungi perancangan saya untuk membangunkan Sandakan untuk dikemukakan di Parlimen," katanya.

Sementara itu, ibunya, Datin Florence Chong berkata, kemenangan dengan majoriti besar diperoleh anak bongsunya itu menyembuhkan 'luka' selepas kehilangan mendiang suami.

Katanya, kemenangan itu menunjukkan rakyat Sabah khususnya pengundi di Sandakan yang menghormati dan menyayangi mendiang suaminya sehingga masih menyokong anaknya dalam PRK berkenaan.

“Malam ini amat membanggakan saya. Saya rasa suami yang sedang 'berehat' di syurga akan lebih tenang kerana keputusan diberikan rakyat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Sandakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 10:55 PM