TATU seorang lelaki yang ada kaitan dengan Geng 18. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


EMPAT lelaki dipercayai ahli Geng 18 ditahan dalam Op Cantas di sebuah pusat hiburan di Dataran Mentari, Petaling Jaya, awal pagi tadi.

Dalam operasi empat pegawai dan 10 anggota Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor jam 1.15 pagi tadi, seramai 40 pengunjung kelab diperiksa.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, hasil pemeriksaan terhadap empat suspek berusia antara 33 hingga 43 tahun mendapati mereka mempunyai tatu berkaitan pertubuhan haram.

“Malah, mereka membuat pengakuan terbabit dengan Geng 18.

“Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sungai Way untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan Haram 1966,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, pihaknya turut menahan dua wanita pelayan pelanggan (GRO) warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis.

“Polis turut merampas sembilan minuman keras dan wang tunai berjumlah RM3,619 dalam operasi itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55(b) akta yang sama dan Seksyen 11 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (EHTTH) 1995,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 9:46 AM