Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG lelaki terkejut apabila mendapati sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di parkir di luar sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 3 Mei lalu, menyamai MPV model sama miliknya.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, hasil maklumat diterima, sepasukan anggota polis membuat pemeriksaan terhadap Toyota Vellfire yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Selepas membuat pemerhatian selama 30 minit, seorang lelaki tempatan masuk ke dalam MPV itu dan menghidupkan enjin.

“Anggota polis terus menahan lelaki itu dan membuat semakan nombor chasis kenderaan. Hasil semakan mendapati pendaftaran asal kenderaan itu adalah atas nombor pendaftaran lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ruslan berkata, suspek berusia 30-an yang menetap di pusat bandar ini ditahan untuk siasatan lanjut.

“Polis merampas MPV terbabit berserta alat kawalan jauh kenderaan itu, nombor pendaftaran hadapan dan belakang serta cukai jalan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video diambil oleh pemilik sebenar MPV berkenaan tular di media sosial selepas dimuat naik sejak beberapa hari lalu.

Dalam video berdurasi 55 saat itu memaparkan pemilik terbabit menunjukkan kereta yang menggunakan nombor pendaftaran sama dengan Toyota Vellfire miliknya termasuk memiliki cukai jalan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 10:46 AM
RAKAMAN pemilik kenderaan yang menemui Toyota Vellfire menyamai MPV miliknya. FOTO ihsan pembaca
RAKAMAN pemilik kenderaan yang menemui Toyota Vellfire menyamai MPV miliknya. FOTO ihsan pembaca