Muhammad Daris Wafiy bersama dua adiknya, Muhammad Daris Rayyan dan Muhammad Daris Amsyar bersama nenek, Fatimah Bujang, 61, melihat album kenangan keluarga mereka. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi

TRAGEDI menyayat hati dua tahun lalu mengubah sepenuhnya kehidupan tiga beradik yang kehilangan tiga insan tersayang sekelip mata, namun takdir itu menjadikan mereka lebih kuat dan tabah hari ini.

Malah, tahun kedua menyambut Ramadan tanpa ibu bapa menjadikan Muhammad Daris Wafiy Sairulazuwan,12, dan dua adiknya, Muhammad Daris Rayyan, 11, dan Muhammad Daris Amsyar,7, mula menyesuaikan diri biarpun rindu tidak bernoktah.

Mereka adalah anak kepada pasangan Sairulazuwan Nadzim, 37, dan Azilina Abdul Aziz, 37, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 21 Jalan Sitiawan-Teluk Intan, berhampiran Kampung Kayan, Sitiawan pada 3 Disember 2017.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, pasangan berkenaan dan bayi lelaki mereka, Muhammad Daris Iffat, tiga bulan, maut selepas Toyota Wish dinaiki terbabas sebelum terhumban dalam parit sedalam 2.5 meter.

Nahas itu menyebabkan ketiga-tiga beradik itu kini dijaga datuk dan nenek mereka, Nadzim Mohd Taib, 69 dan Fatimah Bujang, 61,

Muhammad Daris Wafiy berkata, hakikat kehilangan ibu bapa dalam usia muda sesuatu yang terlalu perit untuk dilalui namun dia dan dua adiknya reda menerima takdir itu.

Menurutnya, dia mengakui sedih apabila melihat rakan-rakan bersama ibu bapa ketika membeli juadah di bazar Ramadan.

“Sehingga kini kami masih belum pergi bazar lagi dan sebenarnya ada juga rasa sedih melihat rakan pergi bazar dengan ibu bapa mereka.

“Namun saya reda, mama dan papa sudah tiada dan kami masih beruntung kerana masih ada datuk dan nenek untuk menumpang kasih,” katanya ketika ditemui di rumah datuk mereka di Kampung Baru 9 Lekir, Setiawan, hari ini.

Katanya, perasaan rindu itu tidak pernah hilang, malah kenangan bersama ibu bapa dan adik bongsunya itu sentiasa tersemat dalam hati mereka.

“Saya dapat 8A dalam Peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) tahun lalu dan terlalu seronok mahu berkongsi dengan mama dan papa, namun menyedari mereka sudah tiada.

“Kalau mama dan papa masih ada mesti mereka gembira melihat keputusan saya,” katanya yang merindui nasi impit dan rendang ayam air tangan arwah ibunya.

Bagi Muhammad Daris Rayyan dia sangat merindui bihun goreng Singapura yang dimasak arwah ibunya dan mengakui pesanan ibu bapanya yang meminta mereka menjadi anak soleh sebagai kekuatannya untuk menjalani kehidupan tanpa insan tersayang di sisi.

“Alhamdulillah sehingga hari ini kami dapat berpuasa penuh dan setiap kali saya rasa tak tahan saya akan ingat pesan mama sebelum ini yang selalu pujuk supaya saya terus berpuasa sampai waktu berbuka.

“Apabila tiba bulan puasa kami merindui kenangan berbuka dan bersahur bersama mama dan papa, walaupun saya sudah boleh terima kehilangan mereka, namun ingatan pada mama dan papa tak pernah hilang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 11:45 AM