ANGGOTA forensik melakukan siasatan di lokasi penemuan mangsa. FOTO ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


PERUNDING acara ditemui mati dengan kesan tikaman di dada dan perut di unit kediamannya di sebuah kondominium di Ukay Perdana, Ampang Jaya, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada rakan mangsa berhubung kejadian itu jam 1.06 pagi tadi.

“Sebaik menerima maklumat itu, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan.

“Berdasarkan maklumat, lelaki berusia 33 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri dan berlumuran darah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, hasil siasatan mendapati mangsa ditemui terlentang dan terdapat kesan tikaman di dada dan perut.

“Siasatan turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pakar Patologi Forensik dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

“Siasatan lanjut sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 2:00 PM