WANITA Myanmar yang ditahan dalam semak. FOTO Ihsan JIM
Noorazura Abdul Rahman


WANITA warga Myanmar lari lintang-pukang sebelum bersembunyi dalam semak bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah semasa Ops Bersepadu (Ops Minyak dan Ops Sapu di kawasan tapak pembinaan, premis kedai dan rumah, di Kulim, semalam.

Bagaimanapun, wanita berusia 36 tahun itu ditahan bersama 22 lagi warga asing lain selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Pengarah JIM Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, operasi selama 10 jam bermula 10.15 pagi sehingga 8.30 malam itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan.

Katanya, seramai 56 orang diperiksa, namun hanya 23 ditahan iaitu membabitkan 10 lelaki warga Bangladesh dan lima lelaki serta seorang wanita warga India.

Selain itu, tiga lelaki termasuk seorang wanita warga Myanmar, masing-masing seorang

lelaki dan wanita warga Nepal dan seorang lelaki warga Indonesia.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 23 hingga 57 tahun, selain bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan ada juga antara yang ditahan bekerja sebagai tukang jahit.

“Kebanyakan mereka tahu bertutur dalam Bahasa Melayu namun kurang fasih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, siasatan awal mendapati mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Selain itu, katanya, Seksyen 15(1) (c) iaitu tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat-syarat pas lawatan dengan berkerja secara tidak sah.

“Mereka ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Alor Setar

untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depoh Imigresen Belantik, Sik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 11:09 AM