KUANTAN 13 MEI 2019. Peniaga daging segar Abdul Malik Saad menjual daging segar di pasar tani Pusat Transformasi Bandar(UTC). STR/MOHD RAFI MAMAT.
Mohd Rafi Mamat


Setiap kali Ramadan, rezeki peniaga daging lembu segar bertambah sekali hingga dua kali ganda berbanding bulan biasa.

Ini diakui peniaga Abdul Malik Saad, 55 yang berpendapat, faktor selera pengguna terhadap makanan segar dan berkualiti menyebabkan permintaan meningkat secara mendadak.

“Permintaan terhadap daging segar ini semakin bertambah beberapa hari sebelum Aidilfitri hingga ada ketikanya tidak mencukupi kerana di luar jangkaan.

“Biasanya, pelanggan tidak terlalu mengambil kira soal harga kerana kebanyakannya memilih untuk membeli daging sebagai juadah (menu) tambahan ketika berbuka,” katanya yang berniaga di pasar tani Pusat Transformasi Bandar(UTC), Kuantan, Pahang.

Beliau berkata, daging lembu segar dijual pada harga RM34 sekilogram (kg) dan ia adalah mengikut harga kawalan ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Abdul Malik berkata, pada bulan biasa dia mampu menjual seekor lembu sehari, namun sepanjang Ramadan akan bertambah seekor hingga dua ekor dalam masa beberapa jam sahaja.

“Saya berharap permintaan daging lembu segar pada Aidilfitri akan datang bertambah berbanding sebelum ini, beberapa ekor lembu sudah sedia untuk sembelih,” katanya yang berpengalaman lebih 20 tahun berniaga daging lembu segar.

Seorang lagi peniaga, Latiff Zahari, 26, berkata, jualannya meningkat 20 hingga 30 peratus setiap kaliRamadan dan ia sudah menjadi perkara biasa setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 1:01 PM