LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS percaya individu yang menggali kubur seorang lelaki di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Bahagia, Kampung Pok, Gelang Patah di Iskandar Puteri, Jumaat lalu, tidak mengenali jenazah yang ditanam di kubur berkenaan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati kemungkinan kubur itu dijadikan sasaran kerana ia masih baharu.

“Tak. Kita percaya suspek sasarkan kubur itu kerana kubur itu masih baharu. Mungkin soal tempoh kubur itu atau barang-barang pada mayat itu yang dia mahu ambil,” katanya ketika ditemui pada majlis pelupusan barang kes Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di Balai Polis Gelang Patah di Iskandar Puteri, hari ini.

Ditanya mengenai motif perbuatan itu, beliau berkata, hasil siasatan setakat ini mendapati ia berunsurkan perbuatan khurafat.

“Setakat ini, kita dapati motifnya adalah perbuatan khurafat dengan menyalahgunakan benda-benda yang ada pada badan mayat itu,” katanya.

Mengenai suspek, Dzulkhairi berkata, pihaknya belum mendapat petunjuk jelas dan masih giat menjalankan siasatan bagi mengesan suspek berkenaan.

“Belum ada ‘lead’ (petunjuk). Belum ada perkembangan lanjut. Kita masih siasat,” katanya.

Jumaat lalu, rutin mingguan seorang wanita yang menziarahi pusara suaminya di tanah perkuburan itu terganggu apabila mendapati sebuah kubur lain di kawasan berhampiran, digali sehingga menampakkan kain kafan jenazah berkenaan.

Lubang yang digali di bahagian permukaan kubur adalah sepanjang kira-kira 1.52 meter (m) dan kedalaman 2.13 m dengan satu lubang dikorek di bahagian dalam kubur dipercayai untuk membolehkan tangan seseorang dimasukkan untuk mencapai jenazah.

Polis menjumpai satu penggali tanah, sebilah pisau di tebing lubang kubur digali dan sebilah pisau dalam lubang kubur terbabit yang dipercayai bukan milik tanah perkuburan itu.

Kubur yang digali itu menempatkan jenazah seorang lelaki Melayu beragama Islam, berusia 58 tahun yang meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya, pada November tahun lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan kerana menceroboh tanah perkuburan.

Berita berkaitan

Benda tak elok ni...

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 2:08 PM