MOHD Ajib (kiri) bersalaman dengan Idris Shaari. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


BUBUR Lambuk Istimewa Resipi Raja Permaisuri Agong. Itu keunikan Program Bubur Lambuk Perdana Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan di Masjid Jamek Kampung Baru, Sabtu ini.

Disediakan sendiri Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, ia antara tiga jenis bubur lambuk yang akan dimasak 70 masjid di Wilayah Persekutuan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail berkata, pada program julung itu, sebanyak 71 kawah bubur dimasak termasuk Bubur Lambuk Kampung Baru dan Bubur Lambuk Johor.

Katanya, ia dijalankan dengan kerjasama rakan strategik seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pusat Pungutan Zakat, Masjid Jamek Kampung Baru, masjid-masjid di Wilayah Persekutuan dan Persatuan Anak Melayu Johor.

“Menerusi program ini, kita mahu sebarkan peranan masjid bukan saja sebagai tempat ibadat, malah skopnya lebih luas sebagai tempat penyatuan ummah dan masyarakat.

“Selain menyediakan menu berbuka untuk anak kariah, ia juga dapat menimbulkan perasaan peka dan prihatin terhadap masyarakat yang kurang berkemampuan untuk berbuka puasa selaras konsep rahmah yang dibawa,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Bubur Lambuk Perdana Masjid-Masjid di Wilayah Persekutuan 2019.

Hadir sama, Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru Datuk Idris Shaari Mat Aris.

Mohd Ajib berkata, kerja memasak bermula 9 pagi dan bubur berkenaan diagihkan oleh masjid kepada anak kariah masing-masing termasuk di sekitar Kampung Baru.

Sementara itu, Idris berkata, kesudian baginda berangkat dan menyediakan sendiri juadah di Masjid Jamek Kampung Baru adalah pengiktirafan kepada seluruh jawatankuasa serta anak kariah.

Katanya, masjid berkenaan beberapa kali menerima tetamu diraja, namun kali ini lebih istimewa kerana Raja Permaisuri Agong sendiri mencemar duli bersama dalam program itu.

“Saya berharap semuanya berjalan lancar, biasanya kami masak antara 15 hingga 20 periuk, tapi kali ini 71 kawah.

“Jadi saya harap orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mengambil bubur lambuk yang diagihkan nanti dan insya-Allah kita akan teruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 3:23 PM