Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya. Foto Luqman Hakim Zubir.
Mohd Husni Mohd Noor


Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan tiada keperluan untuk membangkitkan cerita lama khususnya membabitkan insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang kini berada di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Mengulas mengenai cadangan pihak tertentu supaya kerajaan menyiarkan dapatan insiden berkenaan, Muhyiddin berkata, pihaknya tidak menerima permintaan formal mengenai perkara itu dan menyifatkan ia sekadar pandangan segelintir pihak sahaja.

“Apa perlu membangkitkan cerita lama? Itu satu pengajaran. Apa yang penting adalah pada waktu ini dan masa depan. Inilah yang Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan janjikan iaitu untuk berlaku adil dan saksama.

“Kita tidak mahu negara kucar-kacir kerana perkauman dan agama. Sedikit sebanyak pengalaman lampau itu harus menjadi batasan dan pastikan tidak berulang,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan penyerahan surat lantikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu berkuatkuasa 9 Mei lalu di Putrajaya tadi.

Katanya, negara perlu belajar daripada pengalaman lalu supaya Malaysia tidak ulanginya pada masa depan.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, beliau menjangkakan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan dibentuk hujung tahun ini.

“Rang Undang- Undang (RUU) IPCMC akan dibentang pada sesi Parlimen berikutnya dan penggubalan RUU IPCMC yang saya kira sudah dimulakan oleh Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).

“Ada beberapa sesi Parlimen yang akan kita hadapi sebelum akhir tahun ini bagi membolehkan RUU IPCMC dibentang dan diluluskan Parlimen,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed memaklumkan, penubuhan IPCMC akan diteruskan selepas mendapat persetujuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perkara itu dicapai melalui perbincangan antara GIACC dengan 20 wakil jabatan PDRM dan persatuan polis diketuai Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador di Perdana Putra di sini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, apa yang menjadi kebimbangan PDRM berkenaan IPCMC sudah dijawab dalam pertemuan bersama GIACC.

“Ia termasuk soal kuasa polis, hak merayu, soal berkaitan disiplin. Semua isu sudah dijelaskan dan PDRM berpuashati dengan penjelasan diberi GIACC,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 4:11 PM