LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Norizuan Shamsuddin dan Nurul Hidayah Bahaudin


“SEHINGGA kini, tiada sebarang khabar berita mengenai kakak,” kata Siti Khairani Mohd Kamarudin, 36, berhubung kehilangan kakaknya, Siti Kharina, 40.

Wanita itu berkata, keluarganya sudah puas mencari Siti Kharina tetapi sehingga kini, tiada sebarang petunjuk.

Katanya, tiada orang awam yang menemuinya atau menyalurkan maklumat berhubung kakak.

“Tapi ada pengamal perubatan (bomoh) yang turut menawarkan khidmat untuk mencarinya di alam ghaib, namun sukar untuk kami terima,” katanya.

Kakaknya yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Serdang menghilangkan diri sejak Rabu, lalu malah usaha ahli keluarga menghubungi wanita itu juga gagal.

Menurut Siti Khairani, dia bersama ahli keluarga sudah berusaha mencari Siti Kharina tetapi sehingga kini tidak membuahkan hasil.

“Malah, setakat ini pihak polis pun tidak dapat mengesan kakak.

“Kami bimbang dan khuatir kakak ditimpa perkara tidak diingini.

“Malah, tiga anaknya turut merindui ibu mereka dan sering bertanyakan mengenai kakak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan polis dibuat ahli keluarga mangsa berhubung kehilangan wanita terbabit.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai orang hilang. Kami sudah membuka kertas inkuiri polis untuk siasatan lanjut.

“Pada masa sama, pencarian mangsa sedang dipergiatkan dengan bertumpu di kawasan sekitar bagi mengesan lokasi mangsa,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, media melaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di kawasan letak kereta hospital itu sebelum dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih, Rabu lalu.

Berita berkaitan

'Bantu kami kesan kakak'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 5:34 PM