M Kulasegaran (kanan) beramah mesra bersama pelajar sempena lawatan di ILP Selandar. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nurul Fhatihah Zakinan


JAWATANKUASA Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terkini akan diterajui Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Ia sebagai usaha merangka dasar baharu lebih relevan khususnya dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Ke-4 (Industri 4.0).

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, perkara itu diputuskan melalui mesyuarat khas yang dianggotai beberapa menteri di kementerian berkaitan TVET, Rabu minggu lalu.

“Kita tunggu perkembangannya satu atau dua bulan lagi tetapi TVET kini akan diterajui Menteri Pendidikan.

“Sekarang kita fokus untuk memperkasakan TVET lebih relevan, menyemak semula keseluruhan keperluannya selain membentuk strategi termasuk peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa bersama penuntut Industri Latihan Perindustrian (ILP) Selandar, Melaka menerusi sesi dialog 30 minit.

Kulasegaran berkata, penubuhan itu juga dibentuk berikutan beberapa isu yang timbul ketika ini apabila terlalu banyak tawaran kursus pengajian di universiti tetapi gagal memenuhi kehendak pasaran semasa industri.

“Masalah pertama apabila banyak kursus di universiti tetapi tiada pekerjaan di luar berkaitan kursus.

“Kedua, pasaran kerja sudah sedia ada bagi penuntut bidang kemahiran dan ketiga, ini untuk tujuan masa hadapan termasuk pembangunan ekonomi digital, inovasi, dan teknologi artificial intelligence (AI),” katanya.

Beliau berkata, penubuhan itu diharap berupaya mencapai hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir tempatan iaitu 35 peratus pada tahun hadapan berbanding 28 peratus ketika ini.

Bagaimanapun beliau berkata, pembentukan jawatankuasa baharu itu tidak lagi membabitkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan pembentukan Suruhanjaya TVET, Kulasegaran berkata, perkara itu akan diputuskan pada persidangan TVET di Putrajaya, 9 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 6:40 PM