Keluarga Ainul Mardhiah sudah melakukan persiapan untuk membawanya ke UK. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nurul Fhatihah Zakinan


BAPA Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin mengakui belum merujuk kepada doktor pakar swasta berkaitan rawatan kanser di negara ini bagi membantu merawat kanser mulut Germ Cell Tumor dihadapi bayi perempuannya.

Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata, setakat ini dia hanya membuat prosedur imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor, pada Khamis lalu.

Katanya, prosedur CT Scan itu dibuat selepas diminta oleh Dr Nur Amalina Che Bakri, pakar bedah rakyat Malaysia berpangkalan di UK, dalam usahanya bersama sekumpulan doktor pakar di UK untuk merawat bayi perempuan itu.

“Setakat ini, saya masih belum menerima keputusan daripada Dr Nur Amalina dan kumpulan pakar bedah dari UK susulan laporan CT Scan yang sudah diberikan baru-baru ini.

“Berkemungkinan (maklum balas dari pakar bedah UK) hari ini. Sebab Sabtu dan Ahad lalu, mereka cuti.

“CT Scan itu mereka baru dapat Jumaat lalu,” katanya ketika dihubungi di Melaka hari ini.

Sementara itu, mengenai persiapan persediaan ke UK, Ahmad Safiuddin berkata, persiapan mereka sudah mencapai 70 peratus.

“Kami perlu menyelesaikan beberapa perkara lagi termasuk penginapan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ainul Mardhiah yang kini berusia hampir sembilan bulan dirawat di Hospital Melaka termasuk menjalani prosedur rawatan kemoterapi di hospital berkenaan.

Ahmad Safiuddin dalam laporan yang dipetik sebagai berkata, pembedahan pertama Ainul Mardhiah bagi membuang ketumbuhan di mulut dilakukan di Hospital Kuala Lumpur. Bagaimanapun, Oktober tahun lalu, ada ketumbuhan baharu dikesan di leher bayinya sebelum disarankan menjalani kemoterapi di Hospital Melaka, Disember lalu.

Derita penyakit kanser mulut dialami Ainul Mardiah turut menarik perhatian Dr Nur Amalina yang berusaha berbincang dengan sekumpulan doktor pakar di UK bagi melakukan pembedahan ke atas bayi perempuan itu.

Bagaimanapun, kos rawatan bagi membuang ketumbuhan dan rawatan susulan bayi perempuan itu di UK dianggarkan lebih RM1 juta.

Susulan laporan mengenai Ainul Mardiah, Ketua Menteri, Adly Zahari turut menzahirkan komitmen kerajaan Melaka untuk membiayai kos pengangkutan dan penerbangan keluarga itu bagi rawatan pembedahan di UK.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 8:37 PM