PENIAGA bazar Ramadan diingatkan supaya tidak menjual makanan rosak.
Mohd Sabran Md Sani


JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) memberi amaran kepada peniaga terutama di bazar Ramadan supaya tidak menjual makanan rosak atau kitar semula bagi mengelak pelanggan mengalami keracunan makanan.

Datuk Bandar, Datuk Adib Azhari Daud berkata, amaran susulan tular pengguna Facebook yang berkongsi pengalaman membeli ‘chicken chop’ basi, keras dan berbau dalam Khamis lalu.

Katanya, berikutan itu, empat Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MBIP menjalankan pemeriksaan mengejut di bazar Ramadan Jalan Kemuliaan 2, Taman Universiti, Skudai, 4 petang semalam.

“Namun hasil pemeriksaan kami dapati kebersihan semua gerai dan pengendali makanan berada pada tahap yang agak baik dan memuaskan.

“Sebanyak 183 gerai diperiksa dan empat daripadanya menjual ‘chicken chop’ di bazar Ramadan Taman Universiti, Skudai di sini, namun semuanya didapati dalam keadaan baik, makanan tidak basi atau rosak,” katanya.

Adib Azhari berkata, peniaga perlu mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Makanan 1983 dan Peruntukan-Peruntukan Makanan 1985, Undang-Undang Kecil Penjaja (MPJBT) 1982 dan Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (MPJBT) 1987.

Berdasarkan surat arahan Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), bertarikh 7 Mei 2019, pihak majlis katanya, diarahkan melaksanakan ‘Kempen Kebersihan Bazar Ramadan Peringkat Pihak Berkuasa Tempatan Tahun 2019’.

“Pihak Pentadbiran Majlis diarahkan melaksanakan kempen anjuran KPKT seperti tidak menggunakan beg plastik dan straw, larangan penggunaan bekas styrofoam dan program kitar semula sisa pepejal.

“Dalam melaksanakan kempen ini, aspek yang perlu dipantau adalah kebersihan dan amalan keselamatan makanan oleh pengendali makanan, pembuangan sampah teratur dan pemantauan kerja pembersihan tapak selepas tamat jualan harian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 6:10 AM