NORLIZA (tengah) yang menghidap kanser fibromatosis ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Rotan, Pokok Tai.
Zuliaty Zulkiffli


“SEJAK disahkan menghidap kanser fibromatosis di kaki kiri sejak lebih 10 tahun lalu, keadaan saya kini berubah kerana terpaksa menggunakan tongkat atau kerusi roda untuk bergerak apabila kerap terjatuh tanpa sokongan dan bantuan,” kata Norliza Husain, 39.

Norliza berkata, kanser itu mula dikesan apabila ada ketumbuhan kecil di tulang betis kaki kiri pada tahun 1999 ketika dia berusia 19 tahun.

Katanya, dia mengetahui ada ketumbuhan itu ketika pulang dari tempat kerjanya di sebuah pasar raya di Gurun, Sungai Petani apabila terasa macam hendak demam.

“Saya kemudian menjalani rawatan pemeriksaan di sebuah klinik tetapi selepas mendapati ada ketumbuhan kecil di kaki, kes saya dirujuk ke Hospital Alor Setar ketika itu.

“Saya menjalani pembedahan membuang ketulan itu pada 1999 dan saya rasakan ketika itu mungkin sudah sembuh sepenuhnya sebab bengkak itu hilang.

“Sangkaan saya meleset apabila ketumbuhan itu ada semula lima tahun kemudian di tempat sama menyebabkan saya terpaksa menjalani pembedahan kedua ketika itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Rotan, Pokok Tai di sini.

Norliza berkata, kehidupannya hampir musnah apabila doktor mengesyorkan kaki kirinya dipotong apabila ketumbuhan itu semakin merebak di kaki kirinya itu pada 2008.

Katanya, doktor kemudiannya memberi dua pilihan sama ada kakinya dipotong atau menjalani pembedahan menampal isi kaki kanan ke kaki kiri itu menggantikan sel yang rosak.

“Sampai sekarang saya masih menjalani rawatan di HUSM setiap dua minggu atau sebulan sekali bergantung pada temujanji yang dibuat oleh doktor selain menjalani rawatan radioterapi,” katanya.

Norliza berkata, berikutan kanser yang dialaminya itu, dia tidak dapat berjalan dengan baik disebabkan kakinya tidak kuat dan ada massanya berdenyut serta lenguh di bahagian tulang.

Menurutnya, selama ini suaminya, Mt Zaini Johari, 39, banyak membantunya melakukan kerja harian di rumah, manakala anak tunggalnya dengan bekas suami, Muhammad Nor Akmal Mohd Daud, 19, kini menuntut di Politeknik di Kulim.

“Suami banyak membantu membiayai kos perjalanan ulang-alik ke Kelantan walaupun pendapatannya hanya RM1, 200 bekerja di sebuah pasar raya di Sungai Petani.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubunginya di talian 017-5202434 atau nombor akaun Maybank, 102055018475 (Norliza).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 6:20 AM