X
Anggota bomba berusaha memadam api yang membabitkan kebakaran sebuah kedai perabot dua tingkat di Bangunan Koperasi, Seberang Pekan Sik. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba berusaha memadam api yang membabitkan kebakaran sebuah kedai perabot dua tingkat di Bangunan Koperasi, Seberang Pekan Sik. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


KEDAI perabot dua tingkat di Bangunan Koperasi, Seberang Pekan Sik musnah dalam kebakaran awal pagi, hari ini.

Dalam kejadian 2.40 pagi, kebakaran membabitkan 60 peratus kemusnahan di bahagian depan khemah tambahan dan bahagian siling bangunan berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fazilah Abdul Majid berkata, pihaknya menerima panggilan 2.41 pagi dan tiba di lokasi 2.47 pagi.

Beliau berkata, operasi disertai 11 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera, sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah kenderaan utiliti.

“Setibanya di tempat kejadian, api sedang marak di bahagian khemah tambahan yang menempatkan barangan perabot dan elektrik di tingkat bawah serta di bahagian siling bangunan itu.

“Api dikawal 15 minit kemudian dan kami menyelamatkan lapan deretan kedai di kawasan itu dari terbakar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Fazilah berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan ketika kejadian kerana ketika itu premis ditutup.

Beliau berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.

“Operasi tamat sepenuhnya 4.13 pagi selepas api berjaya dipadamkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 9:08 AM
Digital NSTP Subscribe