Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah, (tengah) memantau harga juadah ketika Tinjauan Harga Makanan di Tapak Bazar Ramadan Seksyen 16, Bandar Baru Bangi. Foto Azhar Ramli
Nurul Hidayah Bahaudin


Tiada kenaikan harga makanan dan minuman dikesan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dilakukan oleh peniaga bazar Ramadan di negeri ini.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan berkala di setiap bazar Ramadan di negeri ini bagi memastikan tiada kenaikan harga makanan dan minuman dikenakan peniaga.

“Bermula 6 Mei lalu (1 Ramadan) hingga semalam, sebanyak 2,869 premis diperiksa di seluruh Selangor. Daripada jumlah itu, hanya satu tindakan diambil iaitu berbentuk amaran kerana tidak mempamerkan tanda harga.

“Buat masa ini, tiada notis dikeluarkan bagi kesalahan tidak mempamerkan tanda harga mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan tanda harga di Tapak Bazar Ramadan di Seksyen 16 Bandar Baru Bangi, di sini, semalam.

Muhamad Zikril berkata, berdasarkan pemeriksaan itu, pihaknya mendapati harga makanan dan minuman dikenakan peniaga bazar Ramadan adalah terkawal dan sama dengan tahun sebelum ini.

“Sehingga kini, kami belum menerima sebarang aduan berhubung harga makanan dan minuman yang dijual mahal.

“Bagaimanapun, pemeriksaan tetap dilakukan setiap petang di semua bazar Ramadan di negeri ini oleh enam cawangan daerah KPDHEP dengan kerjasama 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 1:49 PM