Nur Azra Syazwani dan anaknya, Muhammad Rizqi Rayyan berharap suaminya, Mohamad Aiman dapat kembali ke pangkuan keluarga Ramadan ini. FOTO Zaman Huri Isa
Siti Nor Hidayatidayu Razali


“SAYA harap Ramadan ini ada sinar baharu kepada kami dan mahu suami yang hilang sejak setahun 10 bulan yang lalu kembali ke pangkuan.

“Ini kerana anak tunggal kami amat rindukan Daddy dan kalau boleh kami mahu menyambut Aidilfitri bersama-sama,” kata Nur Azra Syazwani Abdullah, 26, isteri kepada Mohamad Aiman Zafri, 26.

Mohamad Aiman hilang sejak 5 Julai 2017 dipercayai diculik di Jalan Pekeliling, di sini, ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja bersama isterinya.

Nur Azra Syazwani berkata, sempena Ramadan ini, dia berharap ada keajaiban apabila suaminya dapat pulang ke pangkuannya dan anak tunggal mereka, Muhammad Rizqi Rayyan, 4.

Katanya, dia tidak pernah berhenti berdoa kerana yakin suaminya masih hidup tetapi tidak tahu lokasi sebenar dia berada.

“Saya ada jumpa ustaz dan ustazah, mereka memberitahu bahawa suami saya masih ada. Saya hanya mampu berdoa supaya suami pulang dengan selamat.

“Saya sentiasa mengikuti perkembangan kes suami dengan pihak berkuasa kerana mahu ia selesai dengan kepulangan suami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Guru, Wakaf Che Yeh, di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi mengelakkan dirinya terus bersedih, dia bekerja di sebuah hotel di Wakaf Che Yeh manakala anak tunggalnya dijaga oleh ibu, Noor Rihan Hussein.

“Saya bersyukur kerana mendapat sokongan dan kekuatan daripada ibu bapa serta keluarga mentua,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan dalam kejadian jam 11.15 malam, 5 Julai 2017, Mohamad Aiman bersama isteri yang berhenti di kedai runcit ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Padang Tembak didatangi sebuah kereta sebelum tiga lelaki keluar dan memaksa suaminya masuk ke dalam kenderaan mereka.

Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu oleh isteri mangsa sebelum dihubungi seorang lelaki menggunakan nombor Thailand yang meminta wang tebusan RM50,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 2:42 PM