A Sivanesan (dua kanan) menyerahkan notis saman kepada peniaga yang melakukan kesalahan dalam pemeriksaan di premis menjual arak di Ipoh, hari ini. FOTO Abdullah Yusof
Farah Suhaidah Othman


SEHINGGA kelmarin, lima kematian akibat keracunan metanol dilaporkan di Perak, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan.

Beliau berkata, jumlah itu termasuk 13 kes yang direkodkan sejak 30 April lalu membabitkan enam kes di Kinta, Kuala Kangsar (2), Perak Tengah (2) dan masing-masing satu di Larut, Matang dan Selama (LMS) dan Batang Padang.

“Seramai lima warga asing dan lapan tempatan berusia 23 hingga 73 tahun menjadi mangsa, manakala lima kematian itu membabitkan tiga warga asing serta dua tempatan.

“Terbaharu, dua mangsa masih dirawat di hospital, iaitu seorang di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh manakala, seorang lagi di Hospital Teluk Intan,” katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan pemeriksaan di premis menjual minuman beralkohol di Pusat Baru Bandar Bercham, Ipoh, hari ini.

Sivanesan berkata, sejak awal tahun, 198 premis diperiksa Jabatan Kesihatan Negeri dan empat notis dikeluarkan mengikut Peraturan 32(B) Peraturan-peraturan Makanan 1985 atas kesalahan melabel.

“Setiap kesalahan dikenakan kompaun berjumlah RM3,000, manakala 90 jenis minuman alkohol pelbagai jenis bernilai RM876.50 dirampas kerana tidak mematuhi Peraturan-peraturan Makanan 1985.

“Sebanyak 13 sampel (minuman alkohol) telah diambil untuk analisa kandungan metanol dan etanol,” katanya yang memberitahu tidak menerima maklumat yang mendakwa seorang mangsa buta disebabkan keracunan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 6:59 PM