Keadaan di bazar Ramadan Jalan Raja yang kekurangan pelanggan pada minggu pertama Ramadan. FOTO Mohamad Hussin
Mohamad Hussin


KEBANYAKAN peniaga bazar Ramadan di Jalan Raja, Kuala Lumpur mengeluh kerana kekurangan pelanggan sejak minggu pertama Ramadan.

Peniaga Serunding Gombak, Umi Umairah Mohd Awal, 23, berkata, sejak hari pertama berniaga di situ jualan tidak sebanyak seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

Dia yang mewarisi perniagaan bapanya itu berkata, ketika berniaga di Jalan TAR, pendapatan hasil jualan mencecah hampir RM10,000 pada awal pertama Ramadan.

“Berbanding di Jalan Raja, pendapatan kami hanya sekitar RM5,000 pada minggu pertama Ramadan iaitu separuh daripada pendapatan di Jalan TAR.

“Tapak bazar Jalan Raja ini jauh dari pejabat dan pusat beli belah menyebabkan kekurangan pengunjung.

“Ayah saya mula berniaga di Jalan TAR sejak lebih 20 tahun lalu dan ramai pelanggan sudah mengenali produk Serunding Gombak,” katanya ditemui di tapak bazar Ramadan Jalan Raja hari ini.

Umi Umairah berkata, dia menjual pelbagai jenis serunding ayam dan daging, rendang negeri dan tok, ketupat palas, dodol, sotong sira serta ikan bilis sira.

“Tapak lama di Jalan TAR berhampiran dengan hotel dan premis perniagaan selain pejabat yang menjadi tumpuan ramai,” katanya.

Pembantu butik Galeri Anggun, Nurfadniza Mashuri, 34, berkata, minggu pertama Ramadan jualan baju fesyen kanak-kanak merudum teruk kerana kekurangan pelanggan.

“Bayangkan hari pertama dan kedua bazar ini dibuka saya hanya dapat menjual tiga pasang baju saja berbanding di Jalan TAR saya mampu memperolehi RM5,000 pada hari biasa dan hujung minggu mencecah RM8,000,” katanya yang sudah 20 tahun berniaga di Jalan TAR.

Peniaga pakaian kurta dan batik, Normala Abd Rahman, 58, berkata, minggu pertama Ramadan, hasil jualan agak suram berbanding di Jalan TAR yang memperolehi pendapatan RM7,000.

“Masuk minggu kedua Ramadan, perniagaan saya semakin baik dan pengunjung mulai ramai selepas Jalan TAR dibuka semula,” katanya yang menjual kurta jenama Al-Hera, Al-Mas dan Al-Haram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 8:26 PM