Skip this ad x
Anggota bomba terus berusaha memadamkan kebakaran timbunan sampah di tapak pelupusan Tanjung Kidurong, Bintulu. Foto Erika George
Erika George


Sudah seminggu berlalu namun anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih bertungkus lumus 24 jam sehari bagi memadam kebakaran timbunan sampah di tapak pelupusan Tanjung Kidurong, Bintulu, Sarawak, yang terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Mohamad Meramit berkata, keputusan untuk meneruskan operasi pemadaman sepanjang hari itu dicapai pada mesyuarat tergempar Pejabat Residen Bahagian Bintulu, semalam.

Beliau berkata, selain anggota JBPM, operasi pemadaman itu turut membabitkan kakitangan beberapa agensi lain.

“Operasi pemadaman itu dijalankan secara bergilir iaitu bersambung hingga malam membabitkan anggota bomba dengan bantuan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) serta syarikat pengendali pelupusan sampah, Trienekens Sdn Bhd.

“Bagi memadam kebakaran itu, pasukan bomba menggunakan dua pancutan air dari tangki jentera Prime Mover,” katanya.

Mohamad berkata, operasi memadam kebakaran itu mengalami kesukaran kerana faktor timbunan sampah yang begitu banyak yang mencapai ketinggian 40 meter dengan keluasan satu hektar.

Katanya lagi, cuaca terlalu panas turut menyukarkan operasi pemadaman kerana api mudah marak semula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 11:11 AM