Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


TINDAKAN warga Indonesia membina kilang papan haram dan menceroboh hutan simpan kekal pada awal tahun ini mengundang padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini.

Tertuduh, Amirudin, 55, sebelum itu membuat pengakuan bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa terbabit dalam menguruskan industri berasaskan kayu iaitu kilang papan tanpa lesen yang sah di Hutan Simpan Bukit Ibam, dekat Rompin, pada 31 Januari lalu, 12.15 tengah hari.

Dia melakukan kesalahan itu mengikut Subseksyen 3(3), Enakmen Industri Berasas Kayu 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada hari, masa dan lokasi yang sama didakwa memasuki kawasan hutan berkenaan tanpa permit, lesen atau kebenaran yang sah.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mason Jaro Lenya Barayan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu dalam rayuannya tertuduh memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya atas alasan dia perlu menyara isteri, dan lima anak di Indonesia.

Siti Aminah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi pertuduhan pertama dan penjara lima bulan untuk pertuduhan kedua serta mengarahkan kedua-dua hukuman itu dijalankan serentak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 1:14 PM
WARGA warga Indonesia, Amirudin, 55, dipenjara selama lapan bulan selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini, atas tuduhan terbabit menguruskan kilang papan haram di Hutan Simpan Bukit Ibam, di sini, 31 Januari lalu. FOTO Muhd Asyraf Sawal