MARANG 15 MEI 2019. Pengarah Penjara Negeri, Timbalan Komisioner Penjara, Ahmad Saidi Hamzah bersalaman dengan penghuni Penjara Marang pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Zakat Fitrah Penghuni Penjara Marang kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM). STR/AHMAD RABIUL ZULKIFLI
MARANG 15 MEI 2019. Pengarah Penjara Negeri, Timbalan Komisioner Penjara, Ahmad Saidi Hamzah bersalaman dengan penghuni Penjara Marang pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Zakat Fitrah Penghuni Penjara Marang kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM). STR/AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kesedaran penghuni Penjara Marang berhubung tanggungjawab membayar zakat fitrah semakin meningkat apabila seramai 337 daripada 2,465 penghuni Islam penjara itu membayar zakat fitrah pada Ramadan tahun ini.

Pengarah Penjara Terengganu, Timbalan Komisioner Penjara Ahmad Saidi Hamzah berkata, pihaknya berjaya mengutip zakat sebanyak RM2,366 daripada 337 penghuni pada tahun ini berbanding hanya RM1,500 daripada 200 penghuni tahun lalu.

“Penghuni penjara tidak diwajibkan dan tidak dipaksa mengeluarkan zakat fitrah tetapi mereka yang ingin menjalankan ibadah itu sangat digalakkan.

“Kami melantik beberapa orang amil daripada kalangan mereka bagi memberikan kemudahan kepada penghuni untuk membayar zakat fitrah itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Zakat Fitrah Penghuni Penjara Marang, Terengganu kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) semalam.

Turut hadir, Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Penjara Wan Sani Ab Latiff dan wakil Bahagian Pungutan Zakat MAIDAM Marang, Muezzul Lizam Abdul Halim.

Pada majlis itu, Ahmad Saidi bersama Wan Sani mewakili penghuni Penjara Marang menyerahkan wang zakat fitrah itu kepada Muezzul Lizam.

Ahmad Saidi berkata, pihaknya sangat berpuas hati dengan perkembangan positif yang berlaku dalam kalangan penghuni penjara sekaligus membuktikan pelbagai program keagamaan yang dijalankan pihak penjara memberi kesedaran kepada mereka.

“Jika diikutkan, status mereka sebagai tahanan di penjara sudah menggugurkan kewajiban mereka untuk membayar zakat tetapi sebahagian penghuni yang mempunyai pendapatan hasil aktiviti menenun songket dan sebagainya mampu untuk menunaikan zakat fitrah itu,” katanya.

Menurut Ahmad Saidi lagi, beliau bangga dengan pencapaian sebahagian penghuni penjara di dalam bidang keagamaan dan kemahiran termasuk kraftangan.

“Lebih 90 peratus yang menjalani hukuman di penjara ini pada awalnya tidak pandai mengerjakan solat dan membaca al-Quran tetapi mereka kini sudah mula menguasainya dengan baik.

“Malah, terdapat beberapa penghuni sudah menghafal beberapa juzuk al-Quran selain dilantik menjadi mentor kepada penghuni baru yang baru mula belajar al-Quran,” katanya.

Katanya, pihaknya akan memastikan pelbagai program membabitkan pendidikan agama terus diperhebatkan di setiap penjara dan pusat tahanan di negeri ini.

“Hanya melalui pendidikan agama mampu mengubah dan mendisiplinkan mereka untuk menjadi insan yang lebih baik seterusnya kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 2:40 PM