NAJIB ketika hadir perbicaraan berkenaan kes SRC International di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Zunnur Al Shafiq.
Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah


WANG RM42 juta didakwa diseleweng Datuk Seri Najib Razak,dipindahkan dari akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) ke dua akaun bekas Perdana Menteri itu atas alasan untuk pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Bekas eksekutif akaun kanan IPSB, Aishah Ghazali, 37, berkata, ia disalurkan ke akaun Najib menerusi tiga transaksi masing-masing dua transaksi pada 26 Disember 2014 dan satu transaksi pada 9 Februari 2015.

Saksi pendakwaan ke-36 itu yang kini bertugas sebagai Pengurus Akaun di Redtech Offshore Sdn Bhd berkata, bagi transaksi pertama, RM27 juta dipindahkan dari akaun Affin Bank IPSB bernombor 10-618-000110-8 kepada akaun di Ambank dengan nombor 211-202-201188-0 atas nama “Amprivate Banking-1MY” pada 26 Disember 2014.

Menurutnya, bagi transaksi kedua pada hari sama, sejumlah RM5 juta dipindahkan dari akaun IPSB sama ke akaun di Ambank dengan nombor 211-202-201190-6 atas nama “Amprivate Banking-MY”.

Katanya, untuk transaksi ketiga pada 9 Februari 2015, pindahan wang RM10 juta dari akaun IPSB 10-618-000110-8 kepada akaun Ambank 211-202-201188-0 atas nama “Amprivate Banking-1MY.”

“Merujuk kepada wang berjumlah RM27 juta, RM5 juta serta RM10 juta dengan jumlah keseluruhan adalah RM42 juta, saya sahkan semua jumlah wang itu sudah dihantar daripada akaun IPSB dan dipindahkan kepada akaun penerima di AmIslamic Bank Berhad atas arahan daripada Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman (Pengarah Urusan IPSB),” katanya.

Beliau membacakan kenyataan saksi ketika memberi keterangan pada hari ke-18 kes Najib yang berdepan tujuh pertuduhan berhubung dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 6 Mei lalu, Pengurus Affin Bank cawangan The Curve, Noorhayati Mohd Yunus, 44, mengesahkan wang berjumlah RM42 juta dari akaun IPSB dipindahkan ke dalam dua akaun peribadi milik Najib.

Saksi pendakwaan ke-30 itu berkata, wang RM27 juta dan RM5 juta pada 26 Disember 2014 serta RM10 juta pada 10 Februari 2015 dipindahkan dari akaun Affin Bank milik IPSB bernombor 106180001108 ke dalam ke dalam dua akaun AmPrivate Banking 1MY dan MY bernombor 2112022011880 dan 2112022011906 milik Najib.

Pada awal prosiding, Aishah yang sempat berkhidmat empat tahun dengan IPSB berkata, IPSB ditubuhkan pada 2011 dan sebelum ini dikenali sebagai syarikat Gem Horizon Sdn Bhd untuk menjalankan CSR bagi pihak lain.

IPSB dilantik untuk menjalankan program CSR bagi pihak Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) sebagai pembiaya program dan diberikan sejumlah wang untuk menganjurkan program CSR diarahkan YR1M.

Selain itu, saksi sama mengesahkan kemasukan RM50 juta ke akaun IPSB Affin Bank.

“RM40 juta dimasukkan pada 24 Disember 2014 dan masing-masing RM5 juta dimasukkan pada 5 dan 6 Februari 2015,” katanya.

Bagi wang RM42 juta yang dipindahkan dari akaun IPSB, saksi sama berkata, bagi setiap transaksi berkenaan, beliau ada membuat semakan dengan Affin Bank, bagaimanapun tidak mendapat maklumat lanjut daripada bank berkenaan.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam mewakili Najib, Farhan Read, Aishah berkata, beliau tidak mengetahui hubungan antara IPSB dengan Gandingan Mentari Sdn Bhd dan SRC International Sdn Bhd.

FARHAN: Dalam urusan kamu di IPSB. Ada kamu berurusan dengan Gandingan Mentari?

SAKSI: Tak.

FARHAN: Jadi, kamu tak tahu apa hubungan IPSB dengan Gandingan Mentari?

SAKSI: Tak.

FARHAN: Hubungan IPSB dengan SRC International?

SAKSI: Tak.

FARHAN: IPSB dengan 1MDB?

SAKSI: Ya.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 3:25 PM