KERATAN laporan semalam.
Muhammad Apendy Issahak


MAYAT wanita warga emas yang ditemui terbaring di kawasan semak bersebelahan sebuah kondominium di Bercham, Ipoh, semalam sudah dituntut ahli keluarganya, hari ini.

Pengecaman mayat sebelum itu dibuat suaminya, Chew Ah Chai, 82, yang membuat laporan polis kehilangan mangsa pada Ahad lalu di Balai Polis Kampung Simee.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby ketika dihubungi mengesahkan mangsa adalah Chan Moi Chai, 81, yang dilaporkan hilang.

“Suami mangsa sudah menuntut mayat dan punca sebenar kematian tidak dapat dipastikan susulan mayat yang sudah mereput.

“Kes setakat ini masih diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.

Difahamkan, Chew membuat laporan kehilangan mendiang selepas gagal mengesan isterinya itu ketika mereka keluar membeli barangan di sebuah pasar raya dekat Kampung Simee pada 4 petang, Ahad.

Lelaki itu meminta mangsa menunggu di medan selera pasar raya itu sementara dia membeli barang dapur, namun selepas 30 minit, dia mendapati isterinya sudah hilang dan membuat laporan pada 8.30 malam hari sama.

Usaha mengesan Chan yang mempunyai masalah kesihatan turut disiar menerusi akhbar berbahasa Cina.

Portal Harian Metro semalam, melaporkan mayat wanita lengkap berpakaian dianggarkan berusia 80an ditemui seorang penduduk di kawasan berkenaan pada jam 2.30 petang.

Berita berkaitan

Mayat dalam semak

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 3:38 PM