MOHD Fahmi (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan sijil cuti sakit palsu dirampas dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, 9 Mei lalu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
MOHD Fahmi (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan sijil cuti sakit palsu dirampas dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, 9 Mei lalu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS melumpuhkan sindiket penipuan sijil cuti sakit palsu dengan penahanan empat individu termasuk seorang wanita dalam tangkapan berasingan di sekitar Lembah Klang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, tiga daripada empat suspek itu ditahan ketika anggota polis membuat rondaan cegah jenayah di Kampung Baru, Kuala Lumpur selepas mendapati mereka dalam keadaan mencurigakan sebelum membuat pemeriksaan.

“Pemeriksaan terhadap ketiga-tiga suspek berusia 20 hingga 28 tahun itu menemui dua buku sijil cuti sakit dan 42 sijil cuti sakit daripada pelbagai hospital kerajaan disyaki palsu.

“Hasil maklumat daripada suspek berkenaan, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menyerbu dua lokasi di Rawang dan Ampang, Selangor pada 12.30 tengah hari Khamis lalu.

“Dalam serbuan itu, kami menahan seorang lagi lelaki berusia 20-an yang turut terbabit dengan kegiatan terbabit,” katanya pada sidang media di IPD Dang Wangi, hari ini.

Mohd Fahmi berkata, pihaknya merampas 67 cop getah dengan nama doktor daripada pelbagai hospital dan klinik, 39 buku sijil cuti sakit palsu, 16 buku resit rasmi poliklinik, satu ‘stamp pad’ dan sebuah telefon bimbit.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek memperoleh buku sijil cuti sakit dan cop getah daripada rakannya sebelum ia dijual melalui WeChat dengan harga antara RM20 hingga RM25 setiap keping, manakala buku pula dijual pada harga RM400 hingga RM450 setiap satu.

“Malah, suspek melakukan khidmat penghantaran (COD) kepada pelanggan mereka di sekitar Lembah Klang. Suspek mendapatkan bekalan buku sijil cuti sakit melalui kedai percetakan di Kelantan dan cop getah pula diperoleh di kedai sekitar kawasan Pudu.

“Semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman empat hari dikenakan terhadap mereka tamat, kelmarin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 4:02 PM