BUNGKUSAN hitam mengandungi daun ketum yang dirampas sempena Ops Wawasan Kedah/Perlis, semalam. FOTO Ihsan PGA.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


BATALION 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta merampas sejumlah guni berisi daun ketum bernilai RM199,500 di kawasan penugasan Ops Wawasan Kedah/ Perlis dekat Padang Besar, malam semalam.

Ia ditemui di dua lokasi dengan penemuan pertama membabitkan 11 guni putih berisi 330 kilogram daun ketum bernilai RM49,500 pada 10.30 malam.

Pegawai Pemerintah Batalion 1 PGA Ulu Kinta, Superintendan Abd Aziz Abdullah berkata, anggotanya terserempak beberapa lelaki sedang memunggah guni itu sebelum mereka melarikan diri ke kawasan kebun getah.

“Guni ditinggalkan dan pemeriksaan lanjut menemukan daun ketum. Laporan polis dibuat hasil penemuan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

“Susulan laporan, tindakan susulan diambil dan pasukan mengesan dua kereta dalam keadaan mencurigakan di Jalan Besar berhampiran sebuah stesen minyak pada 1.30 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abd Aziz berkata, kenderaan itu diekori namun, mereka menyedarinya kemudian bertindak meninggalkan kereta masing-masing dekat lorong berhadapan sebuah sekolah.

Katanya, dua lelaki melarikan diri dan pemeriksaan ke atas kenderaan menemui 100 plastik hitam berisi daun ketum.

“Sebuah kereta itu adalah kenderaan curi berkait laporan di Tanjung Minyak, Melaka Tengah pada 2013,” katanya yang memberitahu jumlah keseluruhan ketum yang dirampas bernilai RM199,500 manakala, dua kenderaan yang dirampas adalah sebanyak RM55,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 7:07 PM