Amir Mamat
cnews@nstp.com.my


SERAMAI 5,300 penjawat awam di Melaka akan menerima bonus Aidilfitri RM1,000.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri Adly Zahari berkata, bayaran bonus itu akan dilunaskan bersama gaji bulanan penjawat awam, 23 Mei ini.

Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM5.3 juta bagi tujuan pembayaran bonus itu.

“Langkah itu bagi membolehkan golongan itu membuat persiapan awal untuk menyambut Aidilfitri sekali gus meringankan bebanan mereka,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Ihya Ramadan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Masjid Ar-Rahmah, Kampung Tun Razak, Bukit Katil hari ini.

Pada majlis itu, Adly bersama Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman dan Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) TNB Melaka, Ahmad Rezahan Mohammad turut berbuka puasa bersama 300 jemaah.

TNB turut menyumbang sebuah van jenazah kepada Masjid Ar-Rahmah bagi kegunaan pengurusan jenazah di kampung berkenaan selain RM2,000 bagi tujuan pembangunan institusi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 8:06 PM