Mohd Fahmi Mohd Yusof
am@hmetro.com.my


SEKOLAH Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuo Kuang 2, Johor Bahru berjaya memecah Guinness World Records selepas mengumpul 2,869 murid untuk sesi pembelajaran alat muzik, ukulele.

Rekod terbaharu itu sekali gus melebur rekod lama yang dicatat sebuah sekolah di Jepun pada 2014 yang menghimpunkan 2,400 murid.

Wakil Ibu Pejabat Guinness World Record di London, Brian Sobel mengumumkan kejayaan itu selepas lima murid terkeluar daripada percubaan memecahkan rekod dunia berkenaan.

“Hanya lima murid sahaja tersingkir daripada percubaan itu kerana ada antara mereka ke tandas untuk membuang air kecil selain ada yang tidak memberi fokus penuh ketika sesi pembelajaran itu berlangsung 30 minit.

“Setiap percubaan memecah rekod dunia ada garis panduan dan peraturan yang perlu peserta ikuti, malah ia amat dititikberatkan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan kejayaan memecah rekod dunia itu di Dewan Utama SJKC Kuo Kuang 2, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Sukan dan Seni Kementerian Pendidikan, Razuki A Rahim dan Guru Besar SJKC Kuo Kuang 2, Teo Boong Sai.

Dalam percubaan itu, semua murid perlu mengikuti kelas ukulele yang diketuai seorang tenaga pengajar dengan mereka diajar asas penggunaan alat muzik itu.

Sementara itu, Razuki berkata, kejayaan besar itu membuktikan sekolah di Malaysia memiliki keupayaan dan murid yang berbakat tidak kira dalam sukan mahupun, seni muzik.

“Kejayaan memecah rekod dunia ini diharap dapat menjadi pencetus semangat buat sekolah lain untuk sama-sama berusaha mencipta dan membawa nama sekolah masing-masing ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 8:57 PM
SEBAHAGIAN daripada 2,869 murid SJKC Kuo Kuang 2, bersama rekod, Guinness World Records dicatatkan hari ini. FOTO Zain Ahmed.