NOOR Azam (tengah) melancarkan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) Polis Selangor bersama Prasarana di stesen MRT Sungai Buloh, hari ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEBANYAK 58 kes samun dan kecurian dilaporkan berlaku di 21 stesen Transit Aliran Massa (MRT) di seluruh Selangor dari Januari hingga semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, daripada jumlah itu, 11 daripadanya berlaku di daerah Sungai Buloh, 15 kes di daerah Petaling Jaya dan 19 kes di daerah Kajang.

“Selain itu, tujuh kes berlaku di stesen MRT di kawasan Serdang, empat di daerah Gombak dan dua di Subang Jaya manakala daerah Ampang Jaya tidak mencatatkan sebarang kes.

“Bagi membendung kejadian jenayah dan memastikan keselamatan di kawasan stesen MRT terkawal, polis Selangor bekerjasama dengan Prasarana meningkatkan rondaan cegah jenayah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelancaran Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) Polis Selangor bersama Prasarana di Sungai Buloh, hari ini.

Pada majlis berkenaan, polis Selangor turut mengedarkan 400 borang maklum balas balik kampung di kawasan Stesen MRT Surian dan Stesen MRT Sungai Buloh.

Noor Azam berkata, rondaan cegah jenayah di kawasan MRT menggunakan elemen jenayah seperti Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan anggota tugas am balai berdekatan.

“Secara umumnya situasi jenayah di negeri ini adalah selamat dan terkawal dengan jenayah indeks mencatatkan 6,335 kes sehingga 30 April lalu.

“Angka itu menunjukkan penurunan sebanyak 11.47 peratus berbanding nilai ambang,” katanya.

Beliau berkata, jenayah kekerasan pula mencatatkan sebanyak 1,421 kes berbanding nilai sasaran 1,556 kes iaitu penurunan sebanyak 135 kes atau 8.68 peratus.

Katanya, jenayah harta benda mencatatkan sebanyak 4,914 kes berbanding sasaran 5,599 kes iaitu penurunan sebanyak 685 kes atau 12.24 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 9:12 PM