Warga Thailand yang menyamar pelanggan ditahan Pegawai Imigresen Perlis. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


LELAKI warga Thailand bertindak menyamar pelanggan di gerainya sendiri di bazar Ramadan Bintong, Kangar selepas melihat rakan senegaranya ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Perlis hari ini kerana menyalahgunakan pas pelawat untuk bekerja.

Pengarah Imigresen Perlis, Basri Othman berkata, tindakan lelaki 20-an itu gagal selepas gerainya dikepung anggota Imigresen selain Imigresen mengesan tindak tanduknya yang mencurigakan.

Beliau berkata, dalam Operasi Bersepadu Jajar 2019 kali ini, lapan warga Thailand terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita berusia antara 28 hingga 35 tahun ditahan atas kesalahan menyalahgunakan pas pelawat untuk bekerja dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

“Difahamkan lelaki itu ke tandas awam ketika Imigresen ke gerainya, namun dia hanya menyedari gerainya diserbu pihak kami selepas terlihat rakan senegaranya diperiksa.

“Dia seolah-olah bertindak sebagai pelanggan dan berpura-pura meninjau lauk serta keadaan gerainya seperti pelanggan lain.

“Bagaimanapun pihak kami berjaya menghidu tindakan itu dan anggota kami yang menyamar sebagai pelanggan sempat menahannya,” katanya.

Basri berkata, hasil pemeriksaan lelaki itu bersama rakannya, mereka gagal mengemukakan permit pekerjaan sebaliknya menunjukkan pas pelawat untuk masuk ke negara ini kepada pihaknya.

“Oleh itu, dia bersama enam lagi warga Thailand yang lain ditahan di bazar berkenaan atas kesalahan menyalahgunakan pas pelancong manakala seorang lagi lelaki atas kesalahan gagal menunjukkan dokumen atas alasan tertinggal permit kerjanya di rumah.

“Mereka ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 atas kesalahan menyalahgunakan pas pelancong dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

“Mereka dibawa ke depot Imigresen Perlis dan direman 14 hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 11:29 PM