ASMAH dan Amir ketika ditemui di Pusat Jagaan Insan Emas Nur Hidayah di Kampung Chokro di Simpang Renggam.
Adnan Ibrahim


SIMPANG Renggam: Kasih terjalin antara mereka menyebabkan 13 penghuni Pusat Jagaan Insan Emas Nur Hidayah di Kampung Chokro berasa selesa menyambut kedatangan Syawal di rumah kebajikan ini.

Bagi mereka teratak dihuni bersama rakan sudah cukup membahagiakan, apatah lagi tidak ada siapa boleh diharapkan jika pulang ke kampung halaman.

Malah bagi mereka berhari raya bersama kawan-kawan lebih menggembirakan jika dibandingkan sanak-saudara dianggap meminggirkan mereka yang menghidap pelbagai penyakit kronik.

Duda dari Kampung Melayu, Batu 4 Paloh, Amir Abd Rahman, 54, berkata, dia terlantar seorang diri di rumah selama tiga bulan akibat serangan angin ahmar.

Meluahkan rasa kecewanya Amir berkata, sepanjang tempoh itu tidak ada ahli keluarga yang datang menjenguknya.

Katanya, dia bernasib baik apabila kepemimpinan peringkat kampung yang prihatin menghantarnya ke pusat jagaan itu dan kini dia hampir sembuh.

“Saya mengaku perasaan nak berhari raya bersama rakan sekampung dan sanak-saudara memang ada, tapi adakah mereka boleh terima kehadiran saya.

“Lebih baik saya terus di sini selagi hayat dikandung badan. Gelagat rakan senasib dengan saya menjadi pengubat hati menjelang Aidilfitri nanti,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Asmah Hassan, 85, berasal dari Kota Tinggi, tetap berharap dua anak perempuannya dapat menjemputnya untuk pulang berhari raya bersama keluarga.

Namun, warga emas ini pasrah dan reda jika dua anak perempuannya itu tidak membawanya pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.

“Baru lima bulan saya tinggal di sini, tapi perasaan rindu pada kampung membuak-buak, lebih lagi bila sudah masuk Ramadan dan setiap kali mendengar lagu raya dimainkan pihak pengurusan pusat ini.

“Bukan mahu mengimpikan pakaian serba baharu dan cantik, namun jika dapat berhari raya bersama anak-anak sudah cukup besar ertinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 6:00 AM