ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan pemandu dan kelindan lori membawa itik yang tersepit. Foto ihsan bomba.
Mohd Sabran Md Sani


Seorang pemandu lori cedera parah, manakala dua yang lain cedera ringan sejurus dua lori terbabit kemalangan di kawasan Rehat dan Rawat ( R&R) Gelang Patah, Iskandar Puteri, Johor, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu mengakibatkan pemandu lori bermuatan itik, Mohd Shahril Omar, 40-an mengalami cedera parah akibat tersepit manakala kelindannya, Suhaimi Haji, 43, cedera ringan akibat terperosok di tempat duduk belakang pemandu.

Turut cedera kelindan sebuah lori keselamatan, Mohd Shah Hassan, 55, manakala pemandu lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Syafik Rejab berkata, seramai lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 2.08 pagi.

Katanya, maklumat awal diterima membabitkan kemalangan dua lori dengan salah satunya membawa itik.

"Empat lelaki mengalami kecederaan akibat kemalangan itu dan dihantar ke hospital berdekatan. Operasi tamat sepenuhnya jam 2.50 pagi tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 11:14 AM