Abnor Hamizam Abd Manap


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan akan menjalankan siasatan berhubung penularan video mengenai seekor tapir yang tersesat dan berlari di Taman Pertang, Jelebu, semalam.

Pengarahnya, Wan Mat Wan Harun berkata, biarpun video itu tular di WhatsApp, pihaknya belum menerima aduan rasmi daripada penduduk taman terbabit.

Jika benar haiwan itu berkeliaran katanya, penduduk diminta tidak mencederakannya.

“Pihak kami akan turun ke lokasi bagi mengesahkan kehadiran tapir terbabit. Jika benar kejadian berlaku, haiwan ini akan dipastikan pulang ke habitat asal,” katanya.

Menurutnya, beliau percaya tapir itu memasuki penempatan penduduk untuk mencari makan.

Wan Mat berkata, tapir spesis yang dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar, Akta 716 Tahun 2010 bagi Jadual 2.

“Menjadi kesalahan jika mana-mana individu mencederakan atau memburu haiwan terbabit. Penduduk diminta menghubungi PERHILITAN sekiranya terlihat haiwan itu berkeliaran,” katanya.

Sementara itu, penduduk yang mahu dikenali sebagai Wong, 52, berkata, dia terkejut melihat tapir itu melintasi rumahnya jam 3 petang semalam.

Katanya, haiwan itu berlari di kawasan taman dipercayai mahu mencari makan dan dianggarkan seberat 200 kilogram.

“Saya berpendapat, tapir itu memasuki taman ini disebabkan Hutang Pertang semakin terancam. Sebab habitat mereka terganggu, ia mencari makan di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 12:06 PM
RAKAMAN tapir sesat di Taman Pertang semalam. FOTO ihsan pembaca