ANGGOTA Pasukan Polis Marin menahan dua lelaki yang didapati menyeludup masuk ubat-ubatan dari China ke negeri ini. Foto ihsan PPM.
Poliana Ronnie Sidom


Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 9,516 kotak produk perubatan tradisional Cina yang disyaki mengandungi racun berjadual dianggarkan bernilai RM47,580 melalui operasi Ops Landai di Bandar Ramai-Ramai, Sandakan, Sabah, pagi semalam.

Rampasan itu dibuat hasil serbuan ke atas sebuah lori di tepi jalan Hsiang Garden di bandar itu, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Turut ditahan dua lelaki tempatan berusia 36 dan 63 tahun yang disyaki pemilik ubat-ubatan itu.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata, ubat-ubatan itu yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) antaranya jenama Lin-Zi Chongsuntan, Lin-Zi Chuang-Yao Wan, Senchow Tan dan Ginseng Jin Fui Wan.

Katanya, operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan oleh Unit Risikan Marin (URM) susulan rampasan produk tidak berdaftar di negeri ini dan aktiviti penjualan semakin berleluasa.

“Kami masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan beberapa pihak lagi termasuk dalang yang dipercayai terbabit dan menyimpan produk yang disyaki mengandungi racun.

“Kami percaya kegiatan itu dijalankan oleh sindiket yang menyimpan serta mengedar kepada peniaga bukan sahaja di Sandakan malah beberapa daerah lain,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar supaya menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 1:47 PM