Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini. FOTO NSTP.
Muhaamad Hafis Nawawi


PENGAWAL keselamatan dihukum penjara 16 bulan oleh Mahkamah Majistret Langkawi, hari ini kerana menyembunyikan kelahiran bayinya yang dibuang di dalam plastik sampah, bulan lalu.

Majistret Mohd Ridzwan Salleh memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, Noor Azlina Yusof, 36, mengaku bersalah atas tuduhan.

Beliau turut memerintahkan hukuman bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat bayi yang dilahirkan itu di tepi jalan Kampung Dato Syed Nahar, Mukim Kuah, Langkawi antara 12 tengah hari hingga 5.30 petang, 27 April lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nor Azli Mohd Khlapiah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Portal Harian Metro 2 Mei lalu melaporkan mayat bayi ditemui berulat dalam plastik hitam dipercayai dibuang sejak empat hari lalu di tepi jalan berdekatan terowong Kampung Dato Syed Nahar.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat itu pada 9.05 pagi oleh seorang wanita memaklumkan menemui objek menyerupai mayat bayi dalam plastik sampah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lokasi kejadian lima meter dari jalan bertar di kampung terbabit dan sebelah kanan penemuan mayat itu ada jalan kecil tidak berturap.

Berita berkaitan

Mayat bayi berulat dalam plastik hitam

Kejamnya ibu...

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 2:41 PM