PAKAR Bedah Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi hadir untuk inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. FOTO Faiz Anuar.
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


PAKAR Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi tetap mempertahankan teorinya bahawa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim keluar sendiri dari van Bantuan Perkhidmatan dan Kecemasan (EMRS), meskipun tiada saksi mata.

Saksi ke-24 berkata demikian ketika disoal peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Syazlin Mansor, dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib, masuk hari ke-35 di Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini.

Katanya, anggota bomba itu keluar sendiri dari pintu belah penumpang hadapan EMRS berdasarkan tiada keterangan daripada saksi di tempat kejadian yang kukuh termasuklah dapatan pembedahan siasatan yang dilakukannya.

SYAZLIN: Adakah ada keterangan saksi lain?

DR AHMAD HAFIZAM: Sepanjang inkues dijalankan, keterangan saksi mata tiada nampak Adib ditarik keluar. Jadi, saya mengambil kira keterangan saksi pada hari kejadian, termasuk pemandu EMRS yang berada dengan si mati.

SYAZLIN: Adakah saksi ada mengatakan Muhammad Adib keluar sendiri?

DR AHMAD HAFIZAM: Tiada. Namun, dapatan bedah siasat menunjukkan tiada elemen Muhammad Adib ditarik keluar. Jika tiada kecederaan berpadanan dengan ditarik keluar, apa boleh simpulkan adalah si mati keluar sendiri.

Dalam prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad itu, suasana tegang juga berlaku apabila peguam Syazlin mempersoalkan pengiraan Matematik dan penggunaan formula yang dilakukan Dr Ahmad Hafizam yang didakwanya salah.

Saksi itu yang pada mulanya tidak bersetuju dengan cadangan Syazlin mengenai pengiraannya yang salah kemudian akhirnya mengakui perkara itu selepas diasak peguam terbabit.

"Saya mencadangkan mahkamah untuk memanggil saksi pakar fizik supaya dapat pengiraan yang betul," katanya.

Mengulas isu lain, Dr Ahmad Hafizam turut yakin bahawa Muhammad Adib tidak memakai baju uniform celoreng dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada 27 November lalu.

Katanya, baju uniform itu tidak mempunyai kesan luka di bahagian dada yang dialami Muhammad Adib.

“Baju itu lebih bersih daripada seluar uniformnya yang mempunyai kesan kotoran di bahagian punggung dan luka di lutut.

“Jadi, seluar itu saya yakin sebab ada kesan si mati duduk sebab ada koyak pada seluar dan lutut kanan luka,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van EMRS BBP Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Prosiding inkues bersambung petang ini.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 3:09 PM