Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI berstatus suami orang dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Marang hari ini selepas ditahan dalam keadaan mengaibkan bersama kekasihnya yang juga isteri orang.

Selain itu, tertuduh berusia 24 tahun dan mempunyai dua anak turut berdepan hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh yang gagal membayar denda itu terpaksa meringkuk di penjara selama 12 bulan.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Sebelum ini, pasangannya berusia 27 tahun yang mendakwa digantung tidak bertali diarahkan ditahan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor selama enam bulan di mahkamah sama pada 7 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai buruh ditahan bersama pasangannya di sebuah rumah di Marang pada 9.55 pagi 25 Oktober 2018.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai dan penguat kuasa daerah melakukan serbuan berwaran di sebuah rumah di Marang pada 9.55 pagi 25 Oktober 2018.

Sebaik tiba di hadapan rumah berkenaan, pintu utama tertutup sebelum anggota bersama polis masuk untuk membuat pemeriksaan.

Pemeriksaan mendapati tertuduh lelaki dan wanita hanya memakai tuala sebelum soal siasat mendapati mereka bukan suami isteri sah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 6:37 PM